mutakhir

Warga emas maut kemalangan

Oleh Rosliza Mohamed

WARGA emas maut selepas terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kolej Vokasional Kuala Krai, hari ini.

Yusof Mohammad, 71, yang mengalami kecederaan serius di kepala meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kuala Krai pada 11.45 pagi.

Manakala, 10 lagi mangsa termasuk empat kanak-kanak terselamat dan mengalami kecederaan.

Dua daripada mereka iaitu lelaki berusia 72 tahun dan remaja perempuan, 16 tahun parah dan dirawat di hospital sama.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta sewa dipandu Yusof keluar dari simpang secara tiba-tiba, menyebabkan pacuan empat roda (4x4) dari arah Gua Musang gagal mengelak.

Akibatnya, kereta sewa mangsa dirempuh 4x4 itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya dihubungi susulan kejadian itu pada 11.17 pagi.

"Lapan anggota ke tempat kejadian diketuai Pegawai Bomba Kanan II Che Razak Harun.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 10 minit dan dibawa ke hospital dengan bantuan unit EMRS," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 6:26pm
d