mutakhir

Dah ditangkap

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI yang videonya mengugut mahu menikam seorang penduduk kampung selepas ditahan berada dalam keadaan mencurigakan dalam kejadian di Kuala Besut, sudah ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan di sekitar Besut petang ini susulan rakaman video yang menunjukkan dia mengugut seorang lelaki dipercayai pemilik rumah.

"Susulan video yang tular di media sosial, kita berjaya mengesan suspek dan ketika ditahan lelaki berkenaan juga didapati positif dadah.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Mengenai tindakannya yang mengugut seorang lelaki sehingga menjadi tular, kita tidak dapat buka kes sebab tiada laporan polis dibuat daripada mangsa.

"Jadi kita harap mangsa tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil termasuk menjalankan siasatan mengenai ugutan yang dilakukan suspek terhadap mangsa.

"Selain laporan mengenai kes ugutan itu, kita harap mangsa membuat laporan polis sekiranya ada kehilangan barang," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sejak kelmarin, video berdurasi satu minit 38 saat tular di laman sosial dengan menunjukkan seorang lelaki sudah berusia yang memakai kain pelikat tanpa berbaju cuba menahan seorang penunggang motosikal yang dipercayai mahu mencuri di kawasan sekitarnya.

Sebelum ini, video berdurasi 1 minit 38 saat menjadi tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai kain pelikat dipercayai pemilik rumah bertindak menahannya dengan bertanya beberapa soalan.

Bagaimanapun, penunggang motosikal itu mula naik angin dan menyebut mahu menikam pemilik rumah itu.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 9:10pm
d