mutakhir

Ceria menjelang hari raya

Oleh Siti Fatimah Hassan

Cyberjaya: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM74,800 kepada 748 anak yatim di daerah Sepang dan Kuala Langat, di sini, semalam.

Sumbangan tahunan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu akan disalurkan kepada sembilan daerah dengan bantuan pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Selangor, pihak swasta dan individu yang prihatin.

Pengerusi YIDE Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa berkata, sehingga kini pihaknya sudah menyalurkan sumbangan ke enam daerah dan bakinya akan disumbangkan menjelang Aidilfitri minggu hadapan.

“Semua anak yatim ini menerima RM100 seorang sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Sumbangan ini hasil bantuan daripada GLC, pihak swasta dan individu yang prihatin dengan kebajikan anak yatim.

“Kita juga memperkenalkan inisiatif sistem kupon infaq yang mana orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi kupon RM2.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ejen atau amil bagi mengedarkan kupon infaq ini dan akan mendapat 1/8 sebagai upah seperti diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada amil zakat fitrah,” katanya.

Hadir sama di majlis sumbangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi serta Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Pada majlis itu, YIDE turut mengagihkan lebih 3,000 kad peduli sihat kepada anak yatim dan penjaga mereka sebagai langkah proaktif yang diambil bagi menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung YIDE untuk menjaga kemaslahatan anak yatim di Selangor.

YIDE turut menerima sumbangan daripada beberapa syarikat yang disampaikan kepada Tengku Amir Shah sebagai infaq sempena Aidilfitri iaitu RM100,000 daripada Koridor Padu Sdn Bhd (KPSB), RM34,000 daripada PKNS Real Estate Sdn Bhd dan RM10,000 daripada DatumCorp International.

Selain itu, Mohammad Adzib berkata, pihaknya dan KPSB merancang untuk menjalin kerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu anak yatim serta pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) (PDM).

“Kita amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi menginfaqkan sumbangan bagi membantu golongan ini dan rakyat Selangor yang ditimpa musibah atau malapetaka,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 9:00am
d