mutakhir

Dua lelaki maut motosikal bergesel

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Shah Alam: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel dengan motosikal lain dan terbabas dalam kejadian berasingan di sini, semalam.

Dalam kejadian pertama jam 3 pagi, mangsa Muhammad Faiq Mohd Fahmee, 18, maut di tempat kejadian akibat cedera teruk pada kepala dan perutnya di Kilometer 6.7, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari Klang menghala ke ibu negara.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal jenis sama ditunggang rakannya Muhammad Irfan Zakir, 19, sehingga menyebabkan mereka hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa turut melanggar tiang lampu di kawasan itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Manakala, rakannya parah dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melarikan diri selepas bergesel dengan motosikal lain di KM12.1 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang, di sini.

“Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa Haznizam Saiful Haffez Mohammad Istihat, 19, terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Motosikal Yamaha 125Z ditunggangnya dari arah Kuala Lumpur dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal lain lalu terbabas ke tengah lebuh raya berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penunggang sebuah lagi motosikal itu dipercayai melarikan diri.

Kata Shafien, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua kes itu berkaitan perlumbaan sebelum kejadian namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar termasuk meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) berdekatan lokasi berkenaan.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 9:27am
d