mutakhir

Terjunam dari tingkat dua

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 20-an trauma apabila kereta dipandunya merempuh dinding sebelum terjatuh dari tempat parkir kereta di tingkat dua sebuah kondominium PV3 di Taman Melati, Setapak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa dikeluarkan orang awam yang menyaksikan kejadian sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju tiba di lokasi.

Komander Operasi BBP Wangsa Maju, Amir Zaimi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi didapati terdapat satu kejadian kereta dari aras dua bangunan itu terjunam ke bawah,” katanya.

Menurutnya, bapa mangsa yang berada di lokasi memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Mangsa dipercayai ingin mengundurkan keretanya dari parkir itu namun tersalah memasuki gear dan terus melanggar tembok.

“Mangsa tidak menyedari kesilapannya dan terus menekan minyak sebelum terjunam ke bawah,” katanya.

Amir Zaimi berkata, keadaan kereta remuk dan terbalik dengan keempat-empat tayar kereta menghala ke atas.

Dia berkata, mangsa hanya mengalami trauma akibat kejadian itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota yang berada di lokasi melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan dan melakukan pembersihan sisa tumpahan petrol di lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 9:49am
d