mutakhir

Suasana pilu di bilik mayat Hospital Jempol

Oleh BERNAMA

SUASANA pilu dan hiba menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Jempol pagi ini yang menempatkan jenazah lapan mangsa yang maut termasuk enam rentung dalam kemalangan di KM25 Jalan Bahau-Keratong, semalam.

Kelihatan ramai sanak saudara dan rakan taulan hadir seawal 8 pagi di sini bagi memberikan penghormatan terakhir dan cuaca yang hujan juga seolah-olah turut sama meratapi pemergian kesemua mereka.

Pagi ini urusan bedah siasat sedang dilakukan ke atas semua mangsa.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, lapan maut dengan enam daripadanya rentung manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong di Jempol, semalam.

Mereka yang maut ialah enam sekeluarga yang menaiki Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan, Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; dan isteri Mas Noraida M Yusoff, 45.

Turut terkorban empat anak mereka iaitu Wan Muhamad Muhaimin, 22; Wan Nor Atirah, 18; Wan Muhamad Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisha, 7.

Kesemua pemandu dan penumpang Proton Exora rentung dalam kejadian itu.

Dua mangsa lain yang maut ialah pemandu Perodua Myvi Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32, manakala anak kepada pasangan itu Muhammad Alifthaqif Osman, 3, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.

Berita berkaitan:

Pemandu treler direman

[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'

'[UPDATE] 'Api marak, betul-betul bawah treler...'

[UPDATE] Seorang lagi ditemui rentung, 8 maut [METROTV]

7 maut, 5 daripadanya rentung

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 12:02pm
d