mutakhir

Beras pulut Aidilfitri dirampas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menahan dua lori yang menyeludup masuk 30,000 kilogram (kg) beras pulut bernilai RM120,000 dipercayai dari negara jiran dalam dua kes berasingan di Changlun, Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, dalam tangkapan pertama di Jalan Kampung Langsat-Changlun, anggotanya menahan sebuah lori lima tan dipandu lelaki berusia 37 tahun selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan beras pulut.

Beliau berkata, lori itu ditahan jam 4 petang dan hasil pemeriksaan menemui 300 guni beras yang dipercayai cuba diseludup kerana pemandu itu tidak menunjukkan sebarang dokumen untuk membawa beras itu.

"Lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori itu mengaku diupah RM200 namun kita percaya berkemungkinan dia memperoleh lebih sehingga sanggup melakukan kegiatan itu.

"Ini berdasarkan permintaan tinggi terhadap beras pulut menjelang musim perayaan ini dan penyeludup mengambil kesempatan berikutan harga pasaran di Thailand lebih murah dan mampu mengaut keuntungan banyak dengan menjualnya di negara ini berikutan kualiti beras itu bermutu tinggi," katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mohd Khairi berkata, selang 20 minit kemudian pihaknya menahan lori tiga tan tan yang dipercayai menyeludup 300 guni beras pulut masuk ke negara ini di Jalan Kodiang-Changlun tidak jauh dari lokasi pertama.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua kes itu mempunyai kaitan kerana membawa beras pada kuantiti sama tetapi bergerak secara berasingan ke lokasi yang sama untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati lori itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Mereka juga menukar modus operandi iaitu dengan membawa beras pulut itu antara waktu tengah hari hingga jam 4 petang berbanding pada lewat petang hingga malam sebelum ini kerana menyangka waktu itu pemeriksaan pihak berkuasa tidak ketat.

"Pemandu lori kedua berusia 38 tahun itu juga ditahan untuk membantu siasatan dan kita percaya kedua-dua mereka hanya diupah untuk membawa beras pulut itu," katanya.

Mohd Khairi berkata, setiap satu guni beras itu mengandungi 50 kg beras pulut bernilai RM200 dan jumlah keseluruhan beras dirampas bernilai RM120,000 untuk 600 guni bagi dua kes itu.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kedah untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Padi dan Beras 1994 (522), sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 dan barangan dirampas," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 1:55pm
d