mutakhir

Singgah sahur di tiga balai polis

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

SERAMAI 35 ahli Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Anak Sabah (MAS) mengadakan program 'Singgah Sahur' tiga balai polis di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, pagi hari ini.

Program bermula 12.30 malam hingga 3 pagi itu diadakan bagi menghargai pengorbanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan orang ramai sepanjang Ramadan ini.

Presiden MAS, Suhaimi Buang berkata, pada program itu, pihaknya menyampaikan sumbangan makanan dan minuman selain surat penghargaan kepada ketiga-tiga balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, IPD Penampang dan Balai Polis Manggatal.

Beliau berkata, ia sebagai tanda silaturahim antara persatuan itu dan juga pasukan keselamatan berkenaan.

"Dengan adanya program sebegini, dapatlah ahli kami membuat sedikit amal kebajikan untuk memberikan keceriaan kepada anggota polis yang bertugas sepanjang bulan Ramadan ini," katanya di sini, hari ini.

Dalam program itu, ahli MAS turut berkesempatan bersahur bersama anggota dan pegawai polis di Balai Polis Manggatal.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 2:38pm
d