mutakhir

Berlanggar secara berdepan

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI berusia 24 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan Toyota Land Cruiser di Jalan Tanjung Batu berhampiran Simpang Hotel Tiara, dekat Labuan, malam tadi.

Dalam kejadian 11.05 malam itu, mangsa, Jaxmiron Jahilin, 24, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Pemandu Toyota Land Cruiser berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Adzhar Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Membidai.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dipercayai berlanggar dengan Toyota Land Cruiser dari arah depan.

"Akibat kejadian itu, penunggang maut di lokasi kejadian," katanya di sini, hari ini.

Adzhar berkata, mayat dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 4:05pm
d