mutakhir

Empat lagi, termasuk pelajar ditahan

Oleh BERNAMA

POLIS menahan empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kes remaja dipercayai dibuli dan dipukul sehingga cedera parah oleh sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit di George Town, Pulau Pinang, pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, empat lelaki berusia antara 17 hingga 18 tahun, termasuk dua pelajar tingkatan lima ditahan secara berasingan sekitar negeri ini semalam.

Beliau berkata sebelum ini seorang lelaki ditahan pada Sabtu dan ketika siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.

"Saya percaya polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya hari ini.

Dalam kejadian 2.10 pagi itu, dua mangsa berusia 18 dan 19 tahun sedang membeli burger, terserempak dua lelaki dikenali dan berlaku ejek mengejek yang berlarutan sehingga suspek menelefon enam lagi rakan.

Dua mangsa itu dipercayai dipukul menggunakan topi keledar serta ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan berkenaan sebelum remaja berusia 19 tahun berjaya menyelamatkan diri memaklumkan kejadian kepada bapa saudaranya.

Anuar berkata mangsa berusia 18 tahun yang cedera parah, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri serta dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Katanya berdasarkan pemeriksaan doktor pakar, ada kesan kecederaan pada dubur mangsa seperti dimasukkan objek tumpul dan sedikit kesan terbakar di belakang badan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan juga mendapati dua mangsa itu selalu menjadi mangsa buli ketika di sekolah oleh suspek yang juga rakan sekolah mereka.

"Empat remaja yang ditahan itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 9:21pm
d