mutakhir

Tragedi halau tupai

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

WARGA emas cedera pada tiga jari tangan kanan selepas mercun bola yang digunakannya untuk menghalau tupai di kebun berhampiran rumahnya di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, meletup di tangannya, semalam.

Awang Ali, 77, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dalam pemerhatian doktor.

Menurutnya, dia menggunakan mercun bola untuk menghalau tupai yang merosakkan tanaman di kebun berhampiran rumahnya dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu.

Katanya, kebiasaannya dia menggunakan lastik untuk menghalau tupai tetapi dia cuba menggunakan mercun terbabit kerana menyangka ia akan lebih menakutkan haiwan perosak itu.

"Saya dapat dua biji mercun bola dari rakan dan kemudiannya terus bawa ke kebun. Tanpa berlengah saya segera menyalakan sumbunya dan membaling ke arah tupai yang bertenggek di dahan pokok durian.

"Selepas membaling mercun bola pertama didapati letupannya memang dapat menakutkan tupai di sekitar kebun itu.

"Saya kemudiannya menyalakan sumbu mercun kedua tetapi malangnya ia terus meletup tanpa sempat saya membalingnya," katanya.

Warga emas itu berkata, sebaik mercun itu meletup dia berasa seluruh tangan kanannya kebas sebelum terkejut melihat tiga jarinya berdarah.

Menurutnya, dia terus berjalan balik ke rumah sebelum dibantu keluarganya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

"Doktor beritahu kecederaan saya alami agak serius dan perlu pemerhatian buat sementara waktu.

"Saya berharap kejadian yang menimpa saya ini menjadi teladan dan kesedaran kepada orang lain dengan bahayanya mercun," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 12:18am
d