mutakhir

Hayati prinsip wala, ketaatan

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Umat Islam perlu menghayati prinsip wala dan taat kepada pemimpin yang membezakan bagaimana tentera Islam menang dalam peperangan Badar serta kalah dalam peperangan Uhud.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mengikut hukum akal, mustahil untuk tentera Islam seramai 313 orang berperang dengan 1,000 tentera musuh dalam keadaan berpuasa pada Ramadan.

Namun, katanya, mengikut hukum Allah dan dengan izin-Nya, hasilnya berbeza apabila pasukan Islam menang.

Menurutnya, berbeza dengan perang Uhud pada Syawal dalam keadaan tidak berpuasa, tentera Islam tewas.

“Umat Islam kalah kerana berebut harta dan tidak mengikut arahan Rasulullah SAW sebagai pemimpin.

“Dan saya nak bawa kita kepada zaman kontemporari pula, peristiwa berdarah Lahad Datu pada 9 Februari 2013 yang masih segar dalam ingatan kita, apa yang berlaku bila sekumpulan orang Sulu menceroboh masuk ke tanah air kita, Sabah.

“Ada orang kita sendiri khianati negara dan beri maklumat pada musuh yang akhirnya menyebabkan ada pasukan keselamatan kita terkorban,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jalinan Ramadan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Bersama Pasukan Beruniform 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Program tahun kesembilan itu dihadiri lebih 1,700 anggota pasukan beruniform daripada 13 agensi berkaitan.

Najib berkata, insiden yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan itu berlaku kerana tiada ketaatan serta ada pihak mengkhianati rakan seperjuangan dan ia perlu dijadikan pengajaran.

“Sebab itulah pentingnya prinsip wala dan kesetiaan, insya-Allah kalau kita taat dan setia, segala-gala kejayaan tidak mustahil dapat dicapai oleh kita,” katanya.

Menurutnya, dunia kini menghadapi risiko daripada sudut geopolitik dan keselamatan selain ekonomi namun rakyat Malaysia tetap dapat hidup aman damai kerana pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Malah, katanya, Malaysia mencapai kedudukan ke-30 daripada 163 negara paling aman di dunia.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 6:48am
d