mutakhir

'Pergi' rumah tak siap

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya

Kuala Pilah: Belum sempat menyiapkan sebuah rumah di Rembau, dekat sini, seorang buruh binaan maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Kuala Inas, Johol, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa, Mohd Zain Shamsudin, 58, memandu Proton Preve dari Kampung Tulang Rimau, Dangi menuju ke tempat kerja di Rembau.

Katanya, kereta yang dipandu mangsa bersama empat rakan hilang kawalan dan merempuh Proton Exora dan motosikal Honda Future di laluan bertentangan.

“Akibat rempuhan terbabit, Mohd Zain maut kerana tersepit manakala empat rakan dan dua wanita yang menaiki Proton Exora parah,” katanya.

Haslah berkata, penunggang motosikal iaitu remaja berusia 17 tahun cedera di pergelangan tangan sebaik tercampak ke dalam longkang.

“Kami difahamkan Mohd Zain dalam perjalanan ke tempat kerja bagi menyiapkan sebuah rumah yang sedang dibina. Bagaimanapun mereka terbabit dalam nahas berkenaan,” katanya.

Menurut Haslah, akibat pertembungan itu, kereta Proton Preve terbakar di bahagian enjin dan dipadamkan penduduk yang menyaksikan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Kuala Pilah, Adnan Yaacob berkata, lapan anggota dan sebuah jentera dikerah ke lokasi jam 8.27 pagi sebaik menerima maklumat.

Katanya, sebaik tiba pihaknya menanggalkan bateri dan menyiram air di bahagian tumpahan minyak pada kenderaan terbakar.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 7:16am
d