mutakhir

'Tak mahu susahkan'

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Gombak: Tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Itulah jawapan diberikan seorang petugas pusat tahfiz yang membawa dua pelajarnya ke hospital sejurus mangsa terbabit kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, dua pelajar tahfiz cedera apabila motosikal ditunggang berhampiran Batu 16, Jalan Gombak Lama, di sini, hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi jalan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berusia belasan tahun itu cedera ringan sejurus terjatuh dari motosikal berkenaan.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Shukor Hisham berkata, dia menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.15 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati dua remaja terbabit kemalangan motosikal dan mengalami kecederaan,” katanya.

Bagaimanapun, seorang petugas tahfiz tiba di lokasi kejadian dan segera memapah seorang mangsa yang luka.

“Saya menyarankan kedua-dua mangsa yang cedera menunggu bantuan ambulans namun kakitangan pusat tahfiz itu menyatakan dia tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

“Mangsa dihantar ke Hospital Orang Asli Batu 12 dengan menaiki kereta Perodua Kancil,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 7:23am
d