mutakhir

Pengeluaran Myvi kini sejuta unit

Oleh BERNAMA

PERODUA Myvi, model ikonik Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sejak diperkenal pada 2005, melakar detik bermakna apabila pengeluarannya melepasi sejuta unit.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata angka itu dicapai hujung minggu lalu, membolehkan Myvi kekal sebagai kereta paling laris di Malaysia.

"Perodua Myvi menetapkan standard baharu dari segi penawaran produk dan jangkaan pelanggan. Ia turut menjadi penanda aras bagi semua model akan datang kami.

"Bagi meraikan detik istimewa itu, Perodua mengadakan acara khas di kilang pengeluaran di Sungai Choh, Rawang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminar berkata bagi tempoh lima bulan pertama 2017, Perodua berjaya mencatat jualan 81,900 unit kenderaan iaitu meningkat 5.9 peratus berbanding 77,300 unit pada tempoh sama pada 2016.

"Kami menjangkakan jumlah jualan industri bagi lima bulan pertama ini sekitar 233,700 unit. Berdasarkan maklumat ini, bahagian pasaran kami pada masa ini adalah 35 peratus.

"Kumpulan ini juga yakin dapat mencapai sasaran jualan 202,000 bagi tahun ini biarpun dalam persekitaran pasaran yang mencabar," katanya.

Myvi dieksport ke Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal sejak 2006.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 9:45pm
d