mutakhir

Hanya 104,507 PATI daftar E-Card

Oleh Ayusliza Azizan

SEHINGGA 7 Jun lalu, 104,507 pekerja asing tanpa izin (PATI) berdaftar melalui program kad sementara Enforcement Card (E-Kad) berbanding sasaran Jabatan Imigresen Malaysia antara 400,000 hingga 600,000 orang sebelum berakhirnya tempoh pendaftaran 30 Jun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, majikan diminta segera mendaftar PATI sebelum akhir bulan ini dan tempoh itu tidak akan dilanjutkan.

"Kita sudah memberi peluang secukupnya sejak program berkenaan dilaksanakan 15 Februari lalu dan mulai 1 Julai ini, kita akan melaksanakan gerak gempur di seluruh negara terhadap majikan yang masih berdegil," katanya pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Jabatan Imigresen Malaysia 2017 di Masjid at-Taqwa Banting di sini hari ini.

Mustafar berkata, pihaknya yakin akan berlaku pendaftaran pada saat akhir sekali gus menyebabkan kesesakan.

Sehubungan itu, pihaknya menyarankan majikan segera mendaftarkan pekerja daripada golongan PATI itu bagi mengelak berlakunya kesesakan atau berdepan dengan hukuman berat.

"Sabit kesalahan majikan boleh dikompaun imigresen RM5,000, denda di mahkamah sehingga RM10,000 serta sebat maksimum tiga kali selain tindakan mengusir PATI berkenaan," katanya.

E-Kad berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi tujuan menggantikan dokumen perjalanan yang sah daripada kedutaan bagi membolehkan warga asing terbabit terus bekerja di negara ini dan selepas mendaftar, majikan dan warga asing itu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Ia bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam lima sektor iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pendaftaran dibuka bermula 15 Februari lalu menerusi ibu pejabat dan semua pejabat imigresen negeri di Semenanjung.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 10:07pm
d