mutakhir

Imarahkan masjid sebagai pusat perpaduan ummah

Oleh Shamsul Munir Safini

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu umat Islam mengimarahkan masjid sebagai institusi masyarakat yang menyatupadukan ummah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat mesti mengetepikan perbezaan dan berjuang di bawah yang satu.

"Masjid perlu diimarahkan sebagai institusi masyarakat yang tidak ada perbalahan ummah.

"Jika ada perbezaan pendapat sekali pun, biarlah ia diselesaikan di luar masjid," katanya ketika berucap di Masjid Al-Qahhar di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, malam ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menaik taraf masjid berkenaan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 150 asnaf, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tiba pada jam 8.45 malam dan disambut oleh ahli jawatankuasa masjid serta jemaah.

Ahmad Zahid kemudian menunaikan solat fardu Isyak, sebelum menunaikan solat Tarawih yang diimamkan penuntut Maahad Tahfiz Darul Furqan di Sungai Rusa, Balik Pulau, Luqman Hafiz, 18, bersama lebih 300 jemaah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 10:51pm
d