mutakhir

Peralatan jurukamera lesap studio dipecah masuk

Ampang: Seorang jurukamera berusia 33 tahun kerugian lebih RM10,000 apabila premis perniagaannya di Ampang Water Front, di sini, dipecah masuk, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, penjenayah dikatakan masuk menerusi pintu utama selepas mengumpil pintu besi premis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa yang tidur di studio di tingkat atas premis berkenaan tidak menyedari kehadiran penjenayah.

Katanya, mangsa hanya menyedari kejadian pecah masuk itu pada jam 7 pagi selepas dikejutkan pemilik butik di sebelah premis perniagaan mangsa.

“Mangsa yang terkejut segera memeriksa premisnya sebelum mendapati keadaan studio berselerak dan beberapa barangan berharga miliknya turut hilang.

“Antara barangan milik mangsa yang hilang adalah dokumen, dua kamera Nikon D700 dan Fujifilm, empat lensa, dua komputer riba, telefon bimbit dan dua utas jam tangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 5:48am
d