mutakhir

Maut gagal elak bijih besi tumpah

Dungun: Seorang lelaki maut apabila Perodua Myvi dinaikinya terbabas dan terbalik selepas gagal mengelak tumpahan bijih besi di Kilometer 378, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini, jam 6 pagi semalam.

Wong Wei Jia, 25, yang berasal dari Kuantan, Pahang adalah penumpang Perodua Myvi dan dia mati akibat parah di kepala.

Terdahulu, sebuah lori yang membawa bijih besi dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan terbabas sebelum melanggar besi pembahagi lebuh raya.

Berikutan itu, lori terbabit yang dalam perjalanan untuk menghantar bijih besi ke Pelabuhan Kemaman terbalik menyebabkan muatannya tumpah ke bahagian kanan lebuh raya.

Pada masa sama, dua Honda City yang berada di depan Perodua Myvi dinaiki mangsa sempat mengelak tumpahan terbabit namun kedua-duanya terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya. Penumpang kedua-dua kereta berkenaan selamat.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 6:52am
d