mutakhir

Tertidur pandu treler

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEMANDU treler parah selepas kenderaan membawa muatan air mineral itu merempuh tembok pusingan bulatan di kilometer 23 Jalan Lipis-Benta, Lipis, kira-kira 1 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati mangsa Zawawi Mustapha, 43, dipercayai tertidur ketika memandu treler yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan sebelum merempuh tembok pusingan bulatan itu.

"Ketika kejadian mangsa bersama seorang kelindan namun kelindan terbabit tidak mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan orang ramai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan mangsa tersepit di bahagian bawah kepala treler selama dua jam sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Azry Akmar berkata, ekoran kejadian itu muatan air mineral yang dibawa treler berkenaan bertaburan di jalan raya dan kerja pembersihan sudah dilakukan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 12:13pm
d