mutakhir

'Suka-suka' bawa tuah

Oleh Hamzah Osman

SIAPA sangka hanya sekadar suka-suka menghantar borang, membawa tuah kepada penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir apabila mendapat tajaan untuk pulang beraya bersama keluarga di kampung halamannya.

Mohammad Rofizzulhisyam Abd Rahman, 24, penuntut Ijazah Sarjana Jurusan Perubatan yang lebih setahun tidak pulang ke kampung, akhirnya muncul di rumah ibu bapanya di Kampung Kuala Teriang, Langkawi, 3.30 petang, semalam.

Kepulangan anak ketiga daripada enam beradik itu ditaja sepenuhnya menerusi kempen 'Riuhkan Raya Bank Simpanan Nasional (BSN) 2017'.

Ibunya, Rainah Musa, 51, dan bapanya Abd Rahman Hassan, 59, ternyata terkejut apabila anak mereka yang dirindui muncul di hadapan mata selepas lebih setahun tidak bertemu.

Ketika ditemui, Rainah berkata, dia memang terkejut kerana perkara itu tidak diberitahu awal, selain tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada BSN yang menguruskan kepulangan anaknya.

"Saya terkejut dan gembira apabila anak yang lebih setahun tidak bertemu, tiba-tiba muncul di hadapan mata. Saya akan memasak makanan kesukaannya untuk berbuka," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar berkata, BSN tidak pernah ketinggalan menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya setiap kali Aidilfitri dan kali ini muncul dengan kempen menaja kepulangan pelajar luar negara berhari raya bersama keluarga.

Katanya, kempen bertujuan merapatkan silaturrahim itu lanjutan kempen terdahulu iaitu #BSNkataYangPentingIkhlas dan #BSN40Kebaikan bertujuan menggalakkan orang ramai membantu golongan memerlukan.

"Mohammad Rofizzulhisyam adalah antara tiga penuntut Malaysia cemerlang di luar negara yang terpilih mendapat tajaan BSN untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 12:22pm
d