mutakhir

Bersedia hadapi sebarang ancaman

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 282 pegawai dan anggota polis pelbagai unit terbabit dalam latihan amal Ex-Rimau 2017 di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan (PLPLK), Langkawi, hari ini.

Latihan itu sebagai persiapan menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan sepanjang penganjuran Sukan SEA ke-29, Ogos ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, latihan amal Ex-Rimau 2017 itu merangkumi beberapa senario termasuk serangan pengganas, letupan bom, runtuhan bangunan dan mangsa terperangkap.

Selain itu katanya, latihan membabitkan Unit Pemusnah Bom, pasukan 69 Komando (VAT 69), Unit Tindakan Khas, Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pasukan Simpanan Polis dan Jabatan Siasatan Jenayah.

"Tujuan latihan ini adalah untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan.

"Selain menguji pelan tindak balas, latihan juga dijalankan untuk memantapkan peranan dan tugas komander briget sebagai Ketua Pasukan Tindakan Krisis (CRT)," katanya pada sidang media, di pekarangan PLPLK, hari ini.

Asri berkata, lima siri program latihan amal diadakan membabitkan lokasi lain seperti Stadium Bukit Jalil, Masjid KLCC dan International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 1:17pm
d