mutakhir

Timbalan Pendakwa Raya tentukan tindakan lanjut

Oleh Nazdy Harun

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu sudah menghantar laporan lengkap kes kedai makan di Kemaman yang mengenakan bayaran RM32 untuk sepinggan nasi dan lauk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Pengarah KPDNKK negeri, Azlan Abd Samat berkata, tindakan selanjutnya bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada melakukan pendakwaan atau mengenakan kompaun kepada peniaga kedai makan terbabit.

Menurutnya, kedai berkenaan didapati mengenakan bayaran RM32 bagi dua potongan sotong, seekor udang galah, sayur dan nasi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pada 24 Mei lalu, seorang pelanggan kedai makan di Kampung Geliga Baru, Kemaman memuat naik gambar nasi serta lauk berharga RM32 ketika singgah makan di situ.

Berikutan itu, gambar berkenaan tular di media sosial hingga mendapat perhatian netizen sekali gus memberi reaksi negatif terhadap kedai makan berkenaan dengan mendakwa nasi dan lauk berkenaan sangat mahal.

"Dalam satu kes lain, seorang peniaga bazar Ramadan di Dataran Kemaman dikenakan kompaun sebanyak RM200 kerana kesalahan tidak mempamerkan tanda harga pada makanan yang dijual pada 6 Jun lalu.

"Peniaga terbabit menjual nasi beriani daging dengan harga RM13 tetapi tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijualnya itu.

"Hingga kini hanya satu kes dilaporkan dan diambil tindakan membabitkan peniaga di bazar Ramadan," katanya ketika melakukan Kempen Kesedaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 3:01pm
d