mutakhir

Mangsa mercun kedua di Pahang

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KANAK-KANAK lelaki berusia 10 tahun cedera pada kedua belah matanya selepas bermain mercun bola di kawasan rumahnya di Kampung Belukar, Jalan Gambang, Kuantan, 11 malam kelmarin.

Mangsa Muhammad Farish Idrus Syamsul dikatakan bermain mercun bersama rakannya sebelum cedera selepas percikan belerang mercun itu mengenai matanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa dalam keadaan stabil.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam pemantauan pakar.

"Mangsa dikatakan bermain mercun bersama rakannya pada malam itu dan percikan api akibat belerang mencederakan matanya.

"Ini adalah kes kedua akibat mercun di Pahang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norol Azali berkata, kes pertama dilaporkan pada Rabu lalu di FELDA Jengka, Maran membabitkan mangsa, Mohammad Farid Ismaitim, 23.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan mata akibat mercun buatan sendiri.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 4:26pm
d