mutakhir

FELDA mahu wakilnya dilantik dalam FGV

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

FELDA mahu wakilnya dilantik dalam Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) sekali gus memastikan syarikat berkenaan mempunyai amalan urus tadbir pada tahap tertinggi.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata, sebagai pemegang saham terbesar, beliau merasakan perlu ada wakil dilantik dalam FGV.

Beliau berkata, cadangan itu antara pandangan dikemukakannya pada pertemuan singkat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sini petang ini.

" Saya rasa perlu ada wakil Felda dalam lembaga pengarah FGV bagi memastikan amalan urus tadbir syarikat itu berada pada tahap tertinggi.

"FGV sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan dan mereka perlu menunjukkan amalan urus tadbir korporat yang tinggi," katanya pada sidang media selepas bertemu Perdana Menteri di Kementerian Kewangan di sini.

Katanya, sistem pentadbiran dan kepimpinan harus mengikut seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu mengikuti amalan urus tadbir yang terbaik.

Ditanya adakah ada wakil daripada FGV datang bertemunya bagi membincangkan kemelut dan isu FGV, Shahrir berkata, tiada wakil yang datang berbuat demikian bagi membincangkan perkara itu.

"Tiada wakil yang datang berjumpa saya walaupun kami (Felda) adalah pemegang saham terbesar. Saya percaya mereka mungkin tidak faham tadbir urus korporat yang sebenar.

"Kita (Felda) pemegang saham, soalnya siapa yang patut dijaga." katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 8:18pm
d