mutakhir

200,000 kenderaan dijangka masuk Kelantan

Oleh Rosliza Mohamed

KIRA-KIRA 200,000 kenderaan dijangka memasuki Kelantan menjelang Aidilfitri nanti.

Berikutan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan akan berlaku kesesakan di semua laluan pintu masuk negeri bermula beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata, semua pegawai dan anggotanya sudah dipersiapkan untuk berkawal bagi mengelak keadaan tidak diingini.

"Ops Khas Aidilfitri akan dimulakan pada 18 Jun, iaitu seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri di beberapa lokasi dikenal pasti berlaku kemalangan.

"Antaranya, laluan utama di Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang. Kita juga tempatkan 214 pegawai dan anggota yang akan bertugas mengikut syif, 24 jam," katanya ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama 20 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di depoh dan terminal bas bagi memastikan pengangkutan awam itu dalam keadaan baik serta pemandunya patuh peraturan.

Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan memandu dengan selamat.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 9:44pm
d