mutakhir

Kaku atas kontena

Oleh Mohd Hilmie Hussin dan Hasbullah Azhar

Melaka: Selepas hampir 10 jam dibadai ombak di perairan antarabangsa Tanjung Kling, 13 kru kapal MV AVATAR tidak menyangka mereka masih dapat melihat daratan.

Difahamkan, kapal dagang yang dinaiki membawa barang muatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ayam itu dari Pelabuhan Belawan ke Batam, Indonesia. Malangnya kapal dagang dibadai ombak ketika dalam perjalanan.

Ketua Pegawai Kapal MV AVATAR Hartono Umur, 48, berkata, semalam, hujan lebat dan ombak sangat kuat membadai kapal dagang terbabit.

“Ketika itu, jam 2.30 pagi hujan lebat dengan ombak besar membuatkan kapal terumbang-ambing.

“Pada jam 3 pagi, kapal mengiring ke kiri, menampakkan tanda mahu karam akibat dipukul ombak. Saya dan kru yang berjaga mengejutkan anak kapal lain yang tidur nyenyak. Ketika itu juga, tali di kapal sudah putus kerana kapal mengiring ke kiri dan kontena masuk ke laut membuatkan saya serta kru ambil keputusan untuk terjun ke laut sebelum memanjat kontena yang hanyut,” katanya.

Menurutnya, suasana ketika itu kecoh dan mereka tidak sempat mengambil barangan peribadi kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Sementara itu, Dendi Iswandi, 27, berkata, dia tidak dapat menggambarkan perasaan takut berada dalam laut, apatah lagi ketika terumbang-ambing dilambung ombak.

“Keadaan sangat genting dan kami semua terpisah kerana terlalu gelap, tambahan pula masing-masing sibuk mencari tempat untuk berpaut.

“Sekarang, saya dan kru lain masih terkejut dan trauma serta tidak percaya dengan apa yang menimpa kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan kru lain memanjat kontena yang terapung dengan masing-masing kaku, berdiam diri sambil dihanyutkan di tengah lautan.

Katanya, dia hanya memikirkan ajal di depan mata kerana tidak terfikir langsung cara untuk mendapatkan bantuan.

Tinjauan Harian Metro di Jeti Parameswara semalam, semua mangsa kelihatan lemah, namun mereka mengakui tetap berpuasa.

Semua 13 kru itu ditemui kapal dagang berdaftar di Singapura MV UDINE, sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan MAritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Kling dan dihantar ke Jeti Parameswara.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 10:48am
d