mutakhir

Rindu air tangan ibu

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: “Masakan Malaysia ternyata sedap belaka, tetapi tidak dapat menandingi air tangan ibu tercinta yang berada di Indonesia,” kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Aditya Hutama Iswardi.

Baginya, masakan Indonesia boleh dibeli di tempat tertentu terutama bazar Ramadan di Kampung Baru.

“Masakan Indonesia atau masakan Jawa di sini tetap tidak sama dengan yang asli, namun sekurang-kurangnya mengubat rindu keluarga di kampung,” katanya yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Kimia sejak September 2015.

Menurut Aditya, 20, ini tahun kedua dia meraikan Ramadan di Malaysia, namun pertama kali meraikan Syawal, di sini.

“Tahun lalu, saya berkesempatan pulang awal dan membantu keluarga untuk menyediakan persiapan raya dan bersama keluarga.

“Tapi, saya ingin mengambil peluang untuk pulang lewat sedikit tahun ini supaya dapat merasai kemeriahan Aidilfitri bersama rakan di Malaysia.

“Ia tentunya suatu pengalaman yang baru untuk menikmati kemenangan sebagai umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan,” katanya yang berasal dari Yogyakarta.

Tambahnya, di bulan Ramadan ini, dia turut dijamu dengan pelbagai masakan tempatan seperti ketupat, rendang, lemang, mi kolok, malah cucur udang yang baginya istimewa.

Ditanya mengenai perbezaan makanan, Aditya mengakui rendang di sini hampir sama di negara kelahirannya cuma yang membezakannya dari segi kepekatan dan rasa rendang berkenaan.

Aditya juga berkesempatan meninjau lokasi bazar Ramadan di sekitar Putrajaya, Serdang dan Kampung Baru untuk mencari kelainan masakan di setiap tempat.

Bagi rakan senegaranya, Tasya Nadira Indra Permadi, 20, juga meraikan Ramadan kedua di negara ini.

“Sudah tentu saya rindukan keluarga di Bekasi, Jawa Barat, tetapi saya akan cuba untuk pulang segera dan meraikan Aidilfitri bersama mereka,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Tanggungjawab sebagai penuntut dalam jurusan Komunikasi di UPM tidak menghalangnya untuk menyiapkan tugasan yang perlu disiapkan sebelum bermulanya cuti semester hingga September nanti.

Katanya, setiap kali pulang ke Indonesia dia akan membeli perencah masakan Indonesia untuk rendang, opor ayam (seperti ayam masak kurma), kering kentang dan semur daging yang manis dan tidak pedas.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 10:51am
d