mutakhir

Skim Latihan 1Malaysia sumbang 100 rehal

Putrajaya: Gandakan amal ibadah dengan amalan sedekah jariah sempena bulan Ramadan. Itu yang dilaksanakan oleh Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan menyumbang 100 rehal kepada Yayasan Sofa untuk kegunaan kira-kira 1,500 pelajar di Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Rembau, Negeri Sembilan.

Rehal diperbuat daripada kayu getah dan meranti itu disiapkan dalam tempoh dua minggu oleh lima pelatih Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Kelantan dan diserahkan kepada yayasan itu menerusi program Semarak Ramadan Berita Harian, hari ini.

Menceritakan mengenai usaha berkenaan, Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, pihaknya menganjurkan pelbagai program dan aktiviti pada setiap bulan dan untuk Ramadan ini, ia lebih tertumpu kepada menggandakan amal jariah.

“Saya didatangi Ketua Pegawai Operasi Yayasan Sofa dan mengatakan mereka memerlukan rehal, kebetulan saya mengenali Pengarah ILPKB dan beliau memaklumkan pelajar di institut berkenaan boleh menghasilkan rehal yang diperlukan.

“Kos buruh serta penggunaan mesin bagi membuat rehal ini ditanggung sepenuhnya oleh institut berkenaan,” katanya pada sidang media penyerahan rehal, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Pengarah ILPKB Zainudin Ahmad.

Pada masa sama, Norashikin berkata, usaha murni itu juga satu daripada galakan kepada graduan untuk mengambil berat soal kemahiran dalam menjana ekonomi pada masa akan datang.

“Ada graduan yang memandang lekeh soal kemahiran, sedangkan jika mereka mempunyai elemen ini, misalnya membaiki pendingin hawa atau kereta, perkayuan dan pertukangan, mereka tidak perlu menunggu untuk diambil kerja kerana mereka sendiri boleh bekerja.

“Selain itu, dengan kemahiran ini juga, mereka boleh membuat amal jariah seperti pembuatan rehal ini, sekali gus dapat membantu komuniti setempat,” katanya.

Berhubung program Semarak Ramadan Berita Harian, beliau berkata, kira-kira 1,500 orang akan hadir pada majlis yang berlangsung hari ini di Yayasan Sofa dengan kerjasama SL1M.

Katanya, acara gotong-royong memasak, melapah daging selain mengedar bubur lambuk kepada penduduk kampung di kawasan sekitar turut dijalankan.

“Pada majlis itu, kami turut melantik individu daripada Yayasan Sofa sebagai pembimbing dan penceramah motivasi kepada SL1M dan surat akan diserahkan esok (hari ini) selain penyerahan rehal.

“Tahlil perdana turut diadakan bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam serta graduan pelatih SL1M yang meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Zainudin berkata, idea pembuatan rehal untuk kegunaan pelajar itu sekolah itu timbul selepas melihat produk dihasilkan pelatih dibuang begitu saja.

“Barangan dihasilkan mereka di dalam bengkel dibuang selepas markah diambil oleh pensyarah malah, pembuatan rehal ini membolehkan pelatih lebih fokus kepada penghasilan produk untuk orang luar,” katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 11:02am
d