mutakhir

Lama-lama rasa seronok [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Pada mulanya Syed Abdillah Syed Mohd Khairuddin, 14, berasa bosan dan tertekan belajar di Maahad Tahfiz as-Sofa di Rembau, Negeri Sembilan kerana banyak perkara perlu dilakukan sendiri serta tidak bebas seperti di rumah.

Namun lama-kelamaan timbul rasa seronok berada dalam suasana keilmuan dengan segala perlakuan dan tingkah terjaga.

“Awalnya saya tidak berminat dan masuk ke maahad tahfiz ini disebabkan ibu yang beriya-iya mahu menempatkan saya ke sini.

“Tetapi apabila berada di sini, banyak perkara baru yang saya belajar dan paling penting dapat solat berjemaah tepat pada waktunya, malah qiamullail seawal jam 4 pagi.

“Kalau berada di rumah banyak cabarannya dan mungkin sukar menjaga solat serta sentiasa mengaji al-Quran,” katanya yang berasal dari Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur.

Syed Abdillah berkata, tinggal di asrama bersama kawan baru tidak membosankan kerana banyak berkongsi persamaan dan mudah melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Pada waktu petang, pelajar mengikuti aktiviti riadah dan menyertai kejohanan sukan serta taekwondo di peringkat daerah atau negeri, malah ada yang menjadi wakil daerah serta negeri,” katanya.

Menurutnya, sejak memasuki maahad tahfiz itu dua tahun lalu, dia menghafal lima juzuk al-Quran dan berazam menghabiskan hafalan 30 juzuk dalam masa tiga tahun.

Katanya, cabaran menghafal dan menjaga bacaan supaya tidak hilang memang sukar serta menuntut komitmen tinggi.

“Jadi untuk memastikan hafalan al-Quran terjaga, kita kena ulang bacaan terdahulu sama ada secara bersendirian mahupun berguru.

“Malah kita perlu sentiasa menjaga akhlak dan pantang larang apabila pulang ke rumah sama seperti berada di maahad tahfiz ini,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Katanya, pengajian al-Quran perlu dititikberatkan sejak kecil lagi kerana ia kunci segala ilmu, sekali gus dapat mengelak terjebak dengan fahaman salah yang terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 11:11am
d