mutakhir

Hadiah terbaik untuk cikgu

Oleh Siti A'isyah Sukaimi dan Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: “Sebelum ini saya tidak minat mata pelajaran Bahasa Inggeris, namun guru memberi inspirasi kepada saya untuk menguasai mata pelajaran berkenaan,” kata seorang daripada 20 pemenang Peraduan Hari Guru 2017 #gurukusekolahku bagi kategori fotografi, Felicia Ivy, 15.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padungan Kuching, Sarawak itu berkata, dia berjaya meningkatkan pencapaian dan kemahiran bahasa Inggeris kerana gurunya, Diana Khor, 36, banyak membantunya serta rakan lain dalam memahami subjek berkenaan.

“Saya berjaya meningkatkan pencapaian dengan memperoleh gred B berbanding gred C sebelum ini hasil bantuan guru, malah sesi pembelajaran di dalam kelas juga dibuat dengan lebih menarik.

“Justeru, sebagai penghargaan, saya memuat naik beberapa gambar bersama guru di Instagram untuk menyatakan penghargaan kepadanya, sekali gus menyertai peraduan #gurukusekolahku,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Hari Guru 2017 #gurukusekolahku, semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad Shareen Ooi dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad@Salim Bachok.

Peraduan Hari Guru 2017 #gurukusekolahku itu adalah anjuran Media Prima Berhad serta Kementerian Pendidikan.

Selain itu, pelajar SMK Penghulu Saat, Johor, Noramira Samsuri, 16, dan gurunya, Mohamad Fahmi Mohamed Shapie turut diumumkan dalam kalangan 12 pemenang bagi kategori video terbaik yang menerima hadiah, semalam.

Mohamad Fahmi berkata, video yang dimuat naik ke laman sosial Instagram itu memaparkan pelajar membuat persembahan aerobik dengan bendera berwarna selama satu minit dan dirakam menggunakan telefon bimbit, malah ia langsung tidak disunting.

“Pada mulanya kami mahu menghantar video itu untuk Sekretariat Sukan SEA, namun kerana kekangan kami tidak ada rezeki untuk berbuat demikian sehinggalah saya menemui iklan di Harian Metro mengenai pertandingan #gurukusekolahku,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Rangkaian Pemasaran, Rangkaian Radio Media Prima K Vickneswaran berkata, peraduan itu adalah platform untuk pelajar menyatakan penghargaan mereka terhadap jasa dan pengorbanan golongan pendidik.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 11:23am
d