mutakhir

6 anak kapal MT Puteri Sea hilang

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ENAM anak kapal warga Indonesia dipercayai hilang di laut selepas kapal membawa muatan minyak mentah MT Puteri Sea dinaiki terbakar dan karam di barat daya Tanjung Pengelih Pengerang pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) menerima maklumat itu pada 5 pagi.

"APMM menerima maklumat daripada Singapore Police Coast Guard (SPCG) mengenai kejadian berkenaan selepas ia gagal dihubungi oleh ejen kapal.

"Berkemungkinan kapal terbabit terbakar dan tenggelam dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, Maritim Malaysia menerima laporan kejadian itu menggerakkan bot Penggalang 15 dari DM Tanjung Sedili dan tiba di lokasi 6.15 pagi ini.

"Bagaimanapun tiada sebarang kelibat kapal ditemukan.

"Kapal MT Puteri Sea dipercayai membawa muatan minyak mentah dan didaftarkan di Pelabuhan Malabo, Equatorial Guiniea," katanya.

Katanya, kapal yang mempunyai kepanjangan 46.3 meter membawa enam anak kapal dan semuanya warga Indonesia berusia 28 hingga 39 tahun.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 6:36pm
d