mutakhir

Untuk yang kemurungan atau tertekan

Oleh Zulfa Mohamad

INDIVIDU mengalami masalah kemurungan atau tekanan akibat dibuli kini boleh mendapatkan 'ketenangan' dengan mengikuti program Terapi Minda dan Relaksasi diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Program berkenaan disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Bertam, Kepala Batas yang turut dilengkapi bilik kaunseling individu serta bilik dilengkapi kerusi urut, televisyen pintar dan sistem audio.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, gabungan tiga peralatan berkenaan akan membantu dalam kaedah relaksasi membabitkan gabungan minda dan jasad.

Katanya, kemudahan berkenaan boleh digunakan individu untuk meredakan kemarahan atau kemurungan selain menjadi pusat rujukan remaja bermasalah termasuk mangsa buli.

"Mereka yang mahu meredakan kemarahan atau berdepan masalah kemurungan boleh mencuba Terapi Minda manakala remaja yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling boleh merujuk ke Cafe @ Teen.

"Selain berkumpul bersama rakan, remaja boleh mendapatkan nasihat doktor secara tertutup disediakan di Cafe @ Teen," katanya selepas perasmian Program Terapi Minda dan Relaksasi di LPPKN, petang ini.

Pembukaan Terapi Minda berkenaan sempena program Negaraku_Kasihkita_KPWKM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Institut Sosial Malaysia dan Yayasan Kebajikan Negara.

Program berkenaan turut membabitkan kembara di tiga negeri bermula di Pulau Pinang selain Kedah dan Perlis.

Pada masa sama, Rohani berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa kementerian dalam usaha menangani masalah buli termasuk memberi kaunseling kepada remaja yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kes buli boleh dielakkan jika institusi keluarga diperkukuhkan kerana ia bermula dari perasaan dalaman yang dipendam sekian lama," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 10:15pm
d