mutakhir

Larian Obor KL2017 dah sampai Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LARIAN Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 tiba di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis, 6.15 petang hari ini.

Perlis adalah negeri ketujuh yang dilalui Obor Sukan Sea ke-29 selepas Sarawak yang bermula pada 8 Jun lalu.

Permulaan larian di negeri itu bermula dengan pelepasan tujuh perahu layar dan 13 kayak dalam gimik perarakan air Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Jeti Sungai Padang diketuai oleh atlet perahu layar Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis, Faridah Baharuddin dan Nur Farhana Balqish Muhammad Muhairis.

Sejurus tiba di Kompleks LKIM Kuala Perlis, Larian Obor Kuala Lumpur 2017 diteruskan ke seluruh Pekan Kuala Perlis diketuai oleh Exco Perlis, Nurulhisham Yaakob dengan diiringi 29 orang pembawa obor dan 30 pelari pengiring terdiri daripada atlet Para Asean dan atlet SUKMA negeri itu.

Turut mengiringi Nurulhisham ialah 14 kereta klasik dan 13 motosikal klasik daripada Persatuan Kereta Klasik Perlis sebelum obor terbabit diserahkan kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Mat Hassan bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di perkarangan kompleks LKIM.

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan obor itu ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Snowdan Lawan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Haslina Abdul Hamid.

Larian Obor Kuala Lumpur 2017 akan diteruskan esok pada jam 8.30 pagi bermula di pekarangan Institut Kemahiran MARA Beseri, Padang Besar dan berakhir di Masjid Al Barokah, Jelempok.

Seramai 90 orang pembawa obor dan 400 pelari pengiring terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, orang kurang upaya dan atlet negeri itu bakal menyertai larian itu mengelilingi beberapa kawasan di Padang Besar, Kangar dan Arau sebelum diserahkan kepada Ahli Perlimen Datuk Othman Aziz di Jerlun, Kedah.

Seramai enam atlet Perlis yang akan mewakili Malaysia pada temasya Sukan Sea ke-29 dalam acara olahraga dan boling padang pada Ogos nanti.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 10:24pm
d