mutakhir

[UPDATE] Cabaran tekanan air rendah, angin

Oleh Zatul Iffah ZolkiplyZatul Iffah Zolkiply

KEBAKARAN membabitkan 13 premis termasuk tujuh kediaman di Jalan Petani dekat Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu 9.30 malam semalam berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.15 tengah malam hari ini.

Sebelum itu, anggota bomba berdepan kesukaran berikutan tekanan air rendah selain keadaan angin dan struktur kediaman yang diperbuat daripada kayu yang mempercepatkan lagi kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Penolong Pesuruhjaya Bomba Azlimin Mat Noor berkata, pihaknya terpaksa memohon bantuan daripada Syarikat Air Terengganu (SATU) untuk mendapatkan bekalan air sebelum api berjaya dikawal pada 10.15 malam.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian dan ketika ini kita sedang menjalankan langkah keselamatan bagi mengelak kebakaran berlaku semula.

"Setakat ini, 52 anggota daripada BBP Jalan Kota, Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan bomba sukarela terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

"Ketika ini, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan yang mana kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah kedai.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya menyerahkan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi mengenal pasti kerugian bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 2:58am
d