mutakhir

'Saya serik main mercun'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: “Saya tidak mahu lagi main mercun, tak mahu beraya di hospital,” kata Muhammad Farish Idrus Syamsul Bahari, 11, mangsa mercun kedua di negeri ini.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar, di sini, nyaris buta apabila mercun bola yang ditanam di dalam pasir tiba-tiba meletup dalam kejadian jam 9 malam, Isnin lalu.

Ketika ditemui di Wad 4 Kenanga, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam, anak kelima daripada tujuh beradik itu hanya menutup mukanya dengan bantal dan sukar membuka matanya.

Dia juga keberatan menceritakan kejadian itu apabila ditanya wartawan.

Ibunya, Siti Rohaida Melan, 43, berkata, ketika kejadian dia mencuci pinggan dan mengetahui Muhammad Farish Idrus bermain mercun bersama abangnya.

“Secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan serta bunyi pasir bertaburan di bumbung rumah, ketika itu saya fikir mungkin berpunca daripada mercun Farish.

“Saya terus bergegas ke luar dan melihat mukanya kehitaman dan menjerit memberitahu matanya tidak dapat melihat. Saya terus membawanya masuk dan mencuci mukanya namun melihat dia tidak mampu membuka mata, saya terus membawanya ke hospital,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman, semalam.

Kejadian itu mencederakan muka anaknya manakala mata kirinya sukar dibuka sepenuhnya.

Siti Rohaida berkata, Muhammad Farish memberitahu dia bersama beberapa rakannya menanam mercun bola di dalam pasir dan menyalakan api pada sumbu mercun berkenaan namun ia tidak meletup.

“Dia kemudian menghampiri mercun itu dan ia meletup tiba-tiba sehingga menyebabkan pasir masuk ke dalam matanya,” katanya.

Sementara itu, Norol Azali berkata, kes berkenaan yang kedua dilaporkan di negeri ini namun keadaan mangsa tidak serius.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya peka dengan aktiviti anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 7:08am
d