mutakhir

Taranum sepi Aiman

Oleh Nazdy Harun

Kuala Nerus: “Walau sesukar mana sekalipun, saya bersama keluarga akan menjaganya sebaik mungkin. Soal pelaku yang melanggar dan melarikan diri, biar Allah saja yang balas,” kata Raman Abdullah, 63.

Menurutnya, anak bongsu daripada sembilan beradik itu, Aiman Adam, 14, yang koma selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari enam tahun lalu, kini hanya terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada minuman susu.

Dia juga tidak mampu memberi sebarang rangsangan walaupun anggota badannya dicubit.

“Sebahagian otak di sebelah kanan kepala Aiman terpaksa dibuang kerana sudah tidak berfungsi dan dia juga berdepan dengan serangan sawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 Mei 2011 pada jam 8.15 pagi itu, Raman dikatakan meninggalkan Aiman di dalam kereta selepas dia keluar ke kedai bagi membeli alat tulis anaknya itu.

“Ketika itu saya ada mempelawa Aiman yang mesra dengan panggilan adik untuk mengikut saya ke kedai, tetapi dia menolak pelawaan saya.

“Selepas beberapa langkah ke kedai itu, tiba-tiba terdengar bunyi rempuhan. Sebelum berpusing untuk melihat apa yang berlaku hati saya terdetik memikirkan Aiman.

“Sebaik menoleh ke arah bunyi itu, memang benar kerana Aiman dirempuh sebuah motosikal yang kemudiannya melarikan diri. Kejadian berlaku dengan pantas dan saya tidak sangka Aiman keluar dari kereta, tetapi lebih dikesalkan sikap penunggang motosikal yang tidak mempedulikan anak saya selepas merempuhnya,” katanya.

Ibu kepada Aiman, Nik Aini Mohd, 56, mengakui tidak tahan melihat penderitaan Aiman, malah terfikir siapa pula yang akan menjaga anaknya itu jika dia sudah tiada kelak.

“Ketika berusia lapan tahun, Aiman sudah mampu menghafaz enam juzuk al-Quran. Ketika mula masuk ke alam persekolahan, dia meminta saya dan ayahnya menghantarnya ke sekolah tahfiz dan bukannya sekolah harian biasa.

“Saya reda dengan kejadian menimpa anak bongsu saya ini, tetapi kesal dengan pelaku yang tergamak melarikan diri selepas kejadian itu dan tidak datang berjumpa kami sekeluarga.

“Saya tidak berdendam dengan pelaku itu, biar Allah yang menentukan balasan setimpal kepadanya,” katanya.

Menurutnya, walaupun Aiman membuka matanya, doktor memberitahu penglihatan anaknya sudah tiada selain tidak memberi sebarang tindak balas.

Nik Aini bersyukur kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) ada menghulurkan bantuan susu sejak lima tahun lalu dan ia dapat meringankan bebannya sekeluarga.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 8:37am
d