mutakhir

Himpun pelajar terbaik [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang, Selangor antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang sering menduduki tempat pertama dalam tiga peperiksaan awam negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurut Pengetuanya, Ustaz Omar Salleh, 49, antara faktor kejayaan sekolah itu ialah himpunan kemasukan pelajar terbaik dari seluruh negara menerusi dua pengambilan iaitu lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tingkatan empat dan lepasan SPM bagi tingkatan enam rendah.

Katanya, pelajar di sekolah itu mula diberi penekanan dalam akademik sejak awal persekolahan tingkatan empat untuk calon SPM dan seawal tingkatan enam rendah bagi calon STAM atau STPM.

“Semua pelajar di sini wajib mengikuti aktiviti kecemerlangan yang dijalankan pihak sekolah, contohnya kelas tambahan setiap Isnin, Selasa dan Khamis serta aktiviti kokurikulum setiap Rabu manakala pada petang Jumaat pelajar dibenarkan keluar.

“Pada setiap Sabtu pula, pelajar mengikuti kem hujung minggu bagi subjek tertentu yang dibahagikan mengikut tahap pencapaian pelajar serta diadakan di lokasi berbeza seperti dewan, bilik seminar, bilik tayangan utama dan kelas,” katanya.

Beliau berkata, KISAS yang kini mempunyai 800 pelajar di bawah bimbingan 86 guru (sehingga gred 54) kekal sebagai satu-satunya SBP yang mengambil kemasukan pelajar bermula daripada tingkatan empat.

Katanya, biasanya terdapat 3,000 hingga 5,000 calon memohon untuk memasuki KISAS setiap tahun sedangkan hanya 320 tempat disediakan menyebabkan pihak sekolah perlu mengadakan temu duga selain saringan awal di peringkat Bahagian Pengurusan SBP, Kementerian Pendidikan manakala kemasukan ke tingkatan enam rendah pula diuruskan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) kementerian sama.

Menurutnya, antara keunikan sekolah itu ialah tempoh pengajian STAM mengambil masa dua tahun kerana pelajarnya ada yang baru belajar bahasa Arab dan subjek berkaitan ketika belajar di KISAS berbanding sekolah lain yang belajar sejak tingkatan satu lagi.

“Pelajar di sini boleh memilih untuk mengambil STAM, STPM atau kedua-duanya sekali mengikut perancangan ke mana mereka ingin melanjutkan pelajaran nanti.

“Jika untuk melanjutkan pengajian dalam negara, kita galakkan mereka mengambil STPM, tetapi jika ingin belajar ke Asia Barat selepas ini, mereka boleh mengambil STAM,” katanya.

Ustaz Omar berkata, antara kelainan sekolah itu ialah berorientasi agama serta mempunyai subjek yang lebih banyak dalam SPM iaitu 11 berbanding SBP lain sekadar sembilan atau 10 subjek dengan pecahan sembilan kelas sains agama dan tiga kelas sastera ikhtisas.

Begitupun, katanya, KISAS tetap berjaya mengekalkan kecemerlangan dengan mendapat kelulusan 100 peratus tiga tahun berturut-turut dalam peperiksaan awam dan pelajar paling ramai mendapat 9A dalam SPM.

Sebagai peneraju KISAS yang ke-15, beliau berdepan cabaran untuk meneruskan legasi kecemerlangan sekolah itu dengan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sahsiah serta berhasrat membabitkan warga sekolah itu ke program antarabangsa.

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak untuk terus menyumbang bakti terutama Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) serta Alumni KISAS (ALKIS) yang kini diterajui Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor sebagai pengerusi yang banyak bergiat aktif membantu sekolah mengikut batch masing-masing seperti menyediakan elaun bulanan pelajar miskin, menaja program sekolah serta sumbangan prasarana tertentu.

Menyorot sejarahnya, KISAS ditubuhkan atas nama Kolej Islam Malaya (KIM) pada 1955 dengan beroperasi di Istana Jemaah iaitu bangunan yang diwakafkan oleh Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah Al-Haj Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan satu-satunya bangunan asal masih kekal hingga kini menjadi pejabat sekolah.

Pada 1972, KIK diambil alih oleh Kementerian Pelajaran dan diiktiraf sebagai SBP dengan nama Kolej Islam Klang (KIK) sebelum ditukar nama menjadi KISAS pada 1988.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 8:43am
d