mutakhir

Dana perkasa pendidikan Islam

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam mengumumkan dana RM10 juta bagi pelaksanaan aktiviti dan memperkasakan pendidikan Islam di negara ini.

Beliau berkata, dana berkenaan adalah sumbangan daripada badan organisasi dan yayasan selepas rundingan dibuat bersama pihak berkenaan.

“Saya umumkan dana RM10 juta untuk menterjemah pelaksanaan aktiviti pendidikan Islam di negara ini dan ia adalah dana awal.

“Dana ini tidak datang daripada dana kerajaan. Saya berunding dengan tiga atau empat organisasi serta yayasan dan mereka komited terhadap pemberian dana ini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Warshah Islah Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam Malaysia (LEPAI), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Warshah Islah Pendidikan Islam LEPAI yang berlangsung selama tiga hari hingga semalam, menghasilkan tujuh resolusi dalam memperkasakan Pendidikan Islam di negara ini.

Turut membentangkan resolusi itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha yang mencadangkan satu mekanisme khas diwujudkan bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama antara persekutuan dengan negeri dalam mengurus dan membangunkan perkara berkaitan pendidikan Islam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu resolusi yang dikemukakan itu hanya sekadar di atas kertas, sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk melaksanakannya.

“Kita mahu memperkukuhkan didikan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan ia bukan usaha tempelan, tetapi harus dijadikan asas pengukuhan roh Islam,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 8:49am
d