mutakhir

Anggota trafik cedera motosikal rempuh kereta

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

ANGGOTA trafik yang dalam perjalanan bagi melakukan kawalan lalu lintas ketibaan jenazah juruterbang Mejar Mohd Hasri Zahari di FELDA Lui Muda, cedera selepas terbabit kemalangan, pagi ini.

Koperal Faris Affendi Khamis, 36, dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol cedera di muka, tangan dan kaki kiri selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 17 Jalan Bahau-Kemayan, dekat FELDA Lui, Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, anggota terbabit dalam perjalanan menuju ke FELDA Lui Muda.

"Sebuah kereta Proton Iriz yang dipandu seorang wanita berusia 54 tahun dari arah Kemayan dikatakan membelok secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang.

"Pada masa sama, anggota terbabit yang datang dari arah Bahau tidak sempat mengelak melanggar kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Faris Affendi dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 11:52am
d