mutakhir

Rogol tengah mabuk

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

EMPAT lelaki termasuk seorang remaja berusia 18 tahun dicekup polis selepas didapati terbabit secara lansung dengan kes rogol berkumpulan dalam beberapa tangkapan berasingan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam empat serbuan di lokasi berasingan.

Beliau berkata, semua suspek disyaki terbabit dalam kes merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah lokasi di daerah ini kira-kira jam 1.40 pagi pada 9 Jun lalu.

"Pengadu iaitu mangsa sendiri membuat satu laporan polis pada hari kejadian yang sama kira-kira jam 5.20 petang berhubung insiden berkenaan.

"Bertindak atas maklumat pengadu dan risikan, polis kemudiannya membuat empat serbuan berasingan pada 14 Jun lalu (kelmarin) di sekitar bandar raya Kota Kinabalu sebelum berjaya menahan semua suspek," katanya hari ini.

Chandra berkata, berdasarkan maklumat awal, salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah kenalan kepada mangsa daripada aplikasi WeChat.

"Hasil soal siasat, keempat-empat suspek mengaku merogol mangsa yang berada dalam pengaruh alkohol.

"Kini, semua suspek lelaki itu sedang ditahan reman di IPD Kota Kinabalu untuk disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, susulan kejayaan tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 1:11pm
d