mutakhir

Kes keempat sisik tenggiling cuba diseludup

Oleh Nursyahirah Marzuki

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 400 kilogram (kg) sisik tenggiling dengan nilai rampasan kira-kira RM5 juta, malam tadi.

Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemui sisik tenggiling berkenaan selepas menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

"Sebanyak 16 kotak dagangan disyaki membawa barang larangan import ditahan pada 9.50 malam tadi yang tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Ghana ke KLIA.

"Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 400 kg sisik tenggiling yang diisytihar sebagai cengkeram tiram di dalam surat muatan udara," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Kastam KLIA Abdull Wahid Sulong.

Hamzah berkata, sindiket menggunakan alamat palsu yang akan dihantar ke Sepang namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

"Ini adalah kes keempat membabitkan cubaan menyeludup sisik tenggiling selepas dua kes berjaya dipatahkan pada Mei lalu membabitkan sisik seberat 712kg bernilai RM9.18 juta dan satu kes pada 14 Jun lalu membabitkan nilai sebanyak RM3.69 juta.

"Kita percaya kes ini juga membabitkan sindiket yang sama kerana cara pembungkusan dan modus operandi adalah sama," katanya.

Menurutnya, JKDM juga akan menghantar pegawainya dan pegawai PERHILITAN ke Ghana minggu depan untuk berjumpa dengan pihak berkuasa negara terbabit bagi mendapatkan maklumat berkaitan penyeludupan sumbu badak dan sisik tenggiling.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 5:07pm
d