mutakhir

Cerewet jaga kualiti

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Walaupun sudah berniaga sejak 20 tahun lalu, pemilik Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 48, masih menitikberatkan kualiti dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan hampir 70 kuih, biskut dan kek sekali gus memastikan pelanggan mendapat kuih bermutu tinggi bagi menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, banyak pengalaman diperoleh selama ini namun antara paling penting adalah menjaga kepuasan pelanggan kerana merekalah yang menyokong mana-mana perniagaan.

“Berikutan itu, saya akan pastikan bahan yang digunakan setiap kali kuih mula dihasilkan, memang agak remeh dan ramai yang tidak faham dan mengatakan saya cerewet, namun saya hanya mahu pastikan pelanggan mendapat kuih dengan kualiti sama.

“Terus terang saya katakan, semua kuih Nahar Power tidak dijual terlalu mahal dan tidak terlalu murah, pada saya hanya di tengah-tengah namun kualiti kuih kami sukar dibandingkan, semua kuih kurang berminyak, boleh disimpan lebih lama dan lebih enak kerana menggunakan bahan berkualiti tinggi.

“Disebabkan pelbagai faktor yang tidak boleh dielakkan, tahun ini kami terpaksa menaikkan harga lima kuih sebanyak lima peratus berikutan kenaikan harga bahan mentah yang digunakan, kami cuba menukar bahan digunakan namun tidak sesuai menyebabkan kami mengekalkan bahan lama tetapi menaikkan sedikit harga jualannya,” katanya.

Menurut Nahar, dia mahu memastikan pelanggan sentiasa mendapat kepuasan setiap kali menikmati kuih Nahar Power atau dijadikan hadiah untuk keluarga di kampung.

Katanya, selain memberi kepuasan, dia percaya keikhlasannya menjaga kualiti kuih membolehkannya bertahan selama 20 tahun dalam dunia perniagaan kuih raya ini.

Anaknya, Nur Fikri, 13, pula berkata, dia dapat membantu bapanya menjual kuih di Angsana Johor Bahru Mall sejak hari pertama Ramadan kerana cuti sekolah.

Dia yang juga pelajar menengah satu Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) Johor Bahru berkata, dia sering membantu bapa dan ibunya di gerai mereka di Angsana Johor Bahru Mall namun lebih gembira membantu sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

“Tahun ini, disebabkan cuti persekolahan awal, saya dapati orang ramai membeli belah awal berbanding tahun lalu pelanggan membeli-belah pada saat-saat akhir.

“Alhamdulillah, saya bukan saja dapat belajar berniaga malah lebih penting, berinteraksi dengan orang ramai dan menambah keyakinan diri.

“Walaupun perlu berdepan pelbagai kerenah pelanggan, saya puas melihat mereka gembira terutama kanak-kanak yang mendapat apa dikehendaki,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 4:50am
d