mutakhir

Gagal kutip mata

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara gagal mengutip mata pada perlawanan pertama Kumpulan A, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas tewas kepada pasukan ranking pertama dunia Argentina 5-2 hari ini di London, England.

Berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley, empat gol daripada pakar pukulan sudut penalti Argentina Gonzalo Peillat menerusi gerakan itu nyata banyak membantu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio itu untuk menewaskan Malaysian Tigers.

Peillat membuka jaringan seawal minit ke-4 menerusi pukulan sudut penalti sebelum penyerang negara Shahril Saabah menyamakan kedudukan hasil gol padang tiga minit kemudian.

Peillat meletakkan Argentina di depan sekali lagi minit ke-11 tetapi Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil kembali menyamakan kedudukan untuk Malaysia minit ke-18 menerusi gol padang.

Kedudukan 2-2 tidak bertahan lama selepas Peillat meledak gol lagi minit ke-40 dan 47 untuk kedudukan semasa 4-2.

Facundo Callioni melengkapkan kemenangan Argentina apabila menyumbang gol kelima minit ke-49 hasil jaringan padang.

Separuh Akhir Liga Hoki Dunia adalah kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 6:02am
d