mutakhir

Nafi rompak RM200,000

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Pekerja klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan serta mendatangkan kecederaan kepada seorang individu, 9 Jun lalu.

Tertuduh, S Kumaran, 21, yang masih cedera kedua-dua belah paha bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Kumaran bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas didakwa merompak dua lelaki membawa wang tunai berjumlah RM200,000 dengan menggunakan parang serta menyebabkan mangsa cedera.

Kesalahan itu dilakukan di luar bangunan Bank Alliance, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, 2.15 petang, 9 Jun lalu.

Sabit kesalahan, dia yang didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam.

Nik Nasimah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula.

Harian Metro melaporkan seorang penjenayah cedera ditembak manakala seorang lagi meloloskan diri dalam kejadian cubaan samun di hadapan sebuah bank.

Tembakan itu dilepaskan pengawal peribadi kepada mangsa bergelar Datuk Seri itu selepas penjenayah berkenaan cuba menyerang mereka berdua untuk merampas wang berkenaan.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 6:10am
d