mutakhir

Kempunan habuan samun

Oleh myMetro

Kuala Pilah: Sepasang kekasih tidak sempat menikmati habuan selepas dicekup polis 30 minit sebaik melarikan barang kemas milik wanita warga emas dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12 tengah hari apabila pasangan berusia 39 dan 46 tahun berkunjung ke rumah mangsa sambil berlakon kononnya mereka menjual barangan elektrik.

Sumber berkata, ketika itu suspek mengambil kesempatan bertanyakan ketulenan barang kemas dipakai mangsa berusia 92 tahun.

“Atas sebab itu suspek meminta mangsa menanggalkan rantai dan gelang tangan kononnya mahu melihat ketulenannya. Sebaik menelitinya, suspek memberitahu barang kemas dipakai mangsa seakan-akan palsu.

“Untuk mendapatkan kepastian mengenai ketulenannya, suspek memberitahu dia perlu membawa barang kemas mangsa ke kedai untuk pengesahan dan sebagai cagaran, mangsa diberikan barangan elektrik.

“Kedua-dua suspek berjanji datang semula untuk mengembalikan barang kemas sebaik disahkan ketulenannya,” katanya.

Katanya, secara kebetulan, seorang cucu mangsa datang ke rumah beberapa minit kemudian dan dia menceritakan perkara itu kepada cucunya.

“Bertindak atas maklumat, mangsa memberitahu pasangan itu menaiki Proton Wira kelabu. Cucu mangsa menghubungi polis sebelum mengejar mereka yang menghala Gemencheh, Tampin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, pasangan itu ditahan jam 12.35 tengah hari di persimpangan lampu isyarat berhampiran pejabat Pos Gemencheh.

“Pemeriksaan menemui semula barang kemas seperti rantai, gelang dan beg kecil mengandungi lima gelang. Jumlah rampasan keseluruhan belum diketahui.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pasangan itu direman empat hari bermula hari ini (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 6:20am
d