mutakhir

50 tan metrik ikan bekalan Aidilfitri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kelantan menyediakan sebanyak 50 tan metrik ikan untuk bekalan Aidilfitri ini.

Pengarahnya, Azib Yaacob berkata, pelbagai jenis ikan itu dibekalkan daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) yang diperoleh daripada nelayan tempatan dan negara jiran.

Katanya, bekalan ikan di negeri ini mencukupi dan harga juga stabil mengikut harga semasa.

"Pengguna tidak perlu bimbang kerana pihak berkuasa sentiasa memantau harga bagi memastikan harga berada di bawah paras yang ditetapkan.

"Manakala, pemborong dan peniaga juga perlu menjual mengikut harga semasa," katanya ketika ditemui di Majlis Jualan Ikan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini.

Dalam majlis itu sebanyak 400 kilogram (kg) ikan kembung dijual dengan harga RM10 sekilogram.

Azib berkata, pihaknya akan terus memantau bagi memastikan bekalan ikan cukup untuk menampung keperluan pengguna selepas Aidilfitri ini termasuk menyimpan bekalan menerusi dua syarikat berasaskan perikanan yang mampu menampung sebanyak 700 tan metrik pada satu masa.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 12:58pm
d