mutakhir

Tujuh PATI ditahan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASUKAN Polis Marin Wilayah Dua Johor menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang hendak pulang ke negara asal mereka menggunakan laluan tidak sah dalam dua serbuan berasingan di kawasan Hutan Pantai Ladang Tembikai, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam serbuan pertama pada 12.45 tengah malam, tiga lelaki warga asing itu ditahan terlebih dahulu.

Manakala, katanya, empat lagi ditahan di lokasi berhampiran serbuan pertama pada 1.30 pagi tadi.

"PPM Pengerang membuat serbuan ke atas sekumpulan manusia yang ditemui dalam kawasan Hutan Pantai Ladang Tembikai dan mereka yang ditahan semuanya berusia antara 20-an hingga 40-an.

"Mereka mengaku secara lisan hendak pulang ke Indonesia dengan menggunakan bot pancung serta mengaku sudah dua hari berada dalam hutan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) antaranya kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka juga berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan serta keluar masuk melalui pintu yang tidak diwartakan," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 12:58pm
d