mutakhir

Rezeki 1 Syawal

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Pekan: Seramai 6,347 penduduk di daerah ini mengukir senyuman apabila menerima sumbangan zakat berjumlah keseluruhan RM2.6 juta sekali gus dianggap sebagai rezeki Ramadan untuk digunakan bagi membeli keperluan sempena 1 Syawal pada minggu depan.

Penerima Awang Sulung Embong, 73, berkata dia bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan itu untuk digunakan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri minggu depan, selain membeli keperluan harian.

Katanya, dia tiada punca pendapatan selain mengharap bantuan daripada anak-anak selepas tidak lagi bekerja sebagai nelayan.

“Alhamdulillah, dengan bantuan ini dapatlah saya gunakan untuk sambut raya. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang prihatin terutama terhadap warga emas seperti kami,” katanya yang tinggal di Kampung Bentan, Kuala Pahang, di sini.

Warga emas itu ditemui selepas menerima sumbangan zakat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis penyampaian bantuan kepada asnaf serta penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Terdahulu, Najib menerima zakat korporat berjumlah RM2.6 juta daripada 11 organisasi iaitu Bank Rakyat, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Sapura Holdings Sdn Bhd masing-masing menyerahkan RM500,000.

Naza Corporation Holding Sdn Bhd (RM280,000), Roadcare (M) Sdn Bhd (RM250,000), UDA Holdings Berhad (RM200,000), Lembaga Tabung Haji, SME Bank dan Wekajaya Sdn Bhd (RM100,000) serta Affin Islamic Bank Berhad dan Yayasan Basmi Kemiskinan masing-masing menyerahkan RM50,000.

Ia kemudian diserahkan kepada 6,347 penerima di daerah ini terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Bagi ibu tunggal Fatimah Man, 78, sumbangan itu pasti menceriakan dirinya kerana berasa masih diingati dan dihargai.

“Sekurang-kurangnya ada orang ingat kepada kami yang sudah tua ini, syukur masih ada orang ingin membantu terutama ketika hendak menyambut Aidilfitri nanti,” katanya yang tinggal bersama tiga cucu di Taman Seri Setia, di sini.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, selepas kematian suami kira-kira empat tahun lalu, dia dijaga oleh anak dan cucunya sekali gus bergantung harap kepada mereka.

“Justeru, bantuan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban ditanggung untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan mampu merangsang perkembangan ekonomi dan melaksanakan pembangunan di sebalik pelbagai cabaran di peringkat global.

Katanya, ramai pihak tidak menilai kemampuan kerajaan dalam merangsang ekonomi dengan prestasi memberangsangkan iaitu berkembang pada kadar 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 5:14am
d