mutakhir

Tak sangka terpilih

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Gopeng: Pengurusan Masjid Jamek Baru Gopeng teruja dan tidak menyangka masjid berkenaan dipilih sebagai lokasi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Masjid yang dibuka secara rasmi pada 2005 itu boleh memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa dan dua kali memenangi pengurusan masjid terbaik peringkat daerah Kampar iaitu pada 2012 serta 2013 manakala tempat kedua pada 2014.

Imam I masjid berkenaan, Ibrahim Kassim, 65, berkata, dia dan pengurusan masjid bagaikan tidak percaya dan terkejut apabila masjid mereka terpilih sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

Katanya, program seperti yang dianjurkan Harian Metro itu adalah kali pertama diadakan di masjid berkenaan walaupun beberapa program lain seperti Forum Perdana dan lain-lain pernah diadakan sebelum ini.

“Ini adalah rezeki masjid ini apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran program dan memang tidak dapat dinafikan teruja kerana kali pertama masjid kami dipilih.

“Ketika mengadakan mesyuarat, memang kami terkejut apabila masjid kami dipilih kerana berasakan masjid ini biasa saja,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, semalam.

Ibrahim berkata, masjid berkenaan memiliki beberapa perniagaan yang digunakan untuk mengumpul dana antaranya inap desa, kedai cuci kereta, kedai makan dan menjalankan pelbagai aktiviti mengimarahkan masjid.

Katanya, dia dan pengurusan masjid berharap program ini berjalan lancar sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan di kariah berkenaan.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 5:49am
d